Sebut sahaja peperiksaan, mulalah hati seorang guru berdebar-debar..lebih daripada orang yang hendak menduduki pula. Sememangnya begitu, sebagai pendidik, memastikan pelajar-pelajarnya mencapai yang terbaik adalah menjadi harapannya. Pelajar pula bertanggungjawab mengulangkaji dan berusaha untuk mengingat semua fakta yang dipelajari di dalam kelas. Setiap pelajar hendaklah yang pertama, mengetahui topik yang termasuk dalam sukatan pelajaran khususnya Geografi. Kedua, memahami apa yang dipelajari di dalam kelas. Ketiga, berusaha untuk mengekalkan ingatan terhadap isi yang dipelajari di dalam kelas. Ke empat, membuat pembacaan tambahan, bersumberkan buku teks, rujukan dan artikel.
Sukatan Pelajaran
Pelajar boleh merujuk sukatan pelajaran yang meliputi topik-topik Geografi yang mesti dikuasai oleh pelajar. Ia boleh didapati di laman web Pusat Perkembangan Kurikulum bahagian ‘download SP dan HSP’. Dibawah tajuk sains sosial, pelajar boleh mendapatkan Sukatan Pelajaran untuk pelbagai subjek termasuk Geografi.
Memahami apa yang dipelajari
Asas kepada mengingat ialah faham. Setelah faham baru lah pelajar mudah untuk menyusun maklumat yang dipelajari dalam memori. Tumpuan kepada penerangan guru dan mengambil bahagian dalam aktiviti yang dijalankan dalam kelas adalah penting. Kesihatan yang baik boleh membantu otak yang cergas. Pelajar pula jangan berasa segan dan silu untuk bertanya kepada guru terhadap mana-mana bahagian yang tidak difahami. Kerjasama pelajar adalah penting untuk para guru memperbaiki mutu pengajaran.
Mengekalkan Ingatan terhadap isi kandungan pelajaran
Pemilihan makanan yang yang berkhasiat membantu kepada pertumbuhan otak yang sihat. Perbanyakan minum air tanpa gula, sayur-sayuran dan buah-buahan yang merupakan antioksidan yang boleh merangsang aktiviti neuron dalam otak. Pelajar juga boleh mendapatkan nasihat daripada guru dan kaunselor sekolah untuk mengetahui teknik mengingat yang praktikal dan boleh membantu ingatan jangka panjang.
Bacaan tambahan
Selain daripada mendapat input bersumberkan pengajaran guru dalam bilik darjah, pelajar juga digalakkan mencari maklumat tambahan daripada buku-buku rujukan dan melawati laman-laman web yang berkaitan dengan topik yang dipelajari. Pelajar perlu ingat bahawa belajar bukan hanya untuk tujuan peperiksaan sahaja malahan proses pembelajaran adalah sepanjang hayat. Maklumat tambahan ini boleh dikongsi bersama rakan-rakan.
Jadi persediaan awal adalah penting untuk mencapai kejayaan yang diharapkan. Selamat berusaha dan mencapai apa yang disasarkan dalam SPM dan PMR.